DMFK Pecah Rekod

PENCERAMAH motivasi terkenal Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah (DMFK) memecah rekod dunia album tempatan apabila rakaman 10 buah kaset ceramah motivasinya telah dilancarkan serentak di ibu negara baru-baru ini.

Kehebatan Dr. Fadzilah selaku Pengarah Urusan Exel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd., itu bukan sahaja terletak pada ceramah motivasinya yang amat berguna kepada rangsangan positif emosi dan minda masyarakat.

Malah pengeluaran 10 buah kaset serentak itu juga tidak pernah dilakukan oleh mana-mana artis mahupun pakar motivasi di dunia.

Kesemua 10 judul kaset motivasi DMFK itu ialah Langkah Bijak Usahawan Terbilang, Mengenal Peribadi Anda Yang Sebenar, Menangani Masalah Anak Dengan Petua Dan Doa, 99 Langkah Bijak Orang Cemerlang dan 21 Kaedah Mendidik Anak Yang Cemerlang.

Selain itu Menerobos Sempadan Diri, 13 Petua Berkomunikasi Dengan Anak, Menangani Orang Yang Bermasalah, Menempuh Gerbang Perkahwinan dan Petua Pelajar Cemerlang.

“Saya amat bersyukur dengan kejayaan membuat rakaman itu kerana percaya bahawa ilmu yang dikurniakan oleh Allah wajar disebarkan supaya dapat dimanfaatkan bersama dengan orang lain bagi membina bangsa yang berjaya,” katanya pada pelancaran kaset itu di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, beliau juga turut melakukan pelbagai sembahyang sunat dan doa agar usaha murni yang dilakukannya itu mendapat keberkatan oleh Allah dan dijauhi daripada sifat riak.

Rakaman ceramah motivasi yang dibuat di Studio Synchrosound itu terjamin kualitinya, apatah lagi di belakang tabir produksi tersebut ialah Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Waharp Yusof yang berpengalaman luas di dalam industri rakaman dan pernah berkhidmat dengan EMI sekitar tahun 1980-an dahulu.

Ternyata apabila mendengar siri kaset DMFK itu telah memberi banyak inspirasi sekali gus ia wajar dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk golongan pelajar.

Penceramahnya Dr. Fadzilah mempunyai sejarah menarik yang tersendiri untuk menjadi insan yang berjaya kerana ilham motivasi ke arah itu diperolehi sejak kecil lagi.

Beliau mendapat ilham untuk menjadi insan yang berjaya dan ingin keluar daripada kepompong kesusahan hidup dengan cara belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa patuh kepada perintah Allah.

Ilham itu diperoleh ketika sedang mengayuh basikal bagi menghantar bekalan makanan untuk bapanya yang bekerja sebagai tukang kebun sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Dr. Fadzilah merupakan murid yang pintar sejak di bangku sekolah rendah lagi, terutama dalam mata pelajaran Matematik kerana rajin menghafal sifir.

Beliau percaya bahawa kaedah latih tubi atau berulang-ulang adalah antara petua untuk menguasai sesuatu ilmu.

“Jadi saya percaya bagi mereka yang mendengar ceramah motivasi ini secara berulang-ulang, mudah-mudahan mereka akan dapat memahami dan memperoleh ilmu sebagai pedoman hidup,” katanya yang berasal dari Sungai Pinang, Klang.

Beliau memberi jaminan bahawa mendengar kaset motivasi DMFK itu akan mendapat kepuasan kerana ia turut diselang seli dengan kreativiti yang boleh menghiburkan pendengar.

Menurut Dr. Fadzilah, apa salahnya sesekali keluarkan belanja untuk membeli kaset yang mengandungi ilmu pengetahuan, selain berhibur dengan lagu-lagu artis popular.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz5cpKFLmOl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Open chat
Salam Sejahtera,
Apa kami Boleh Bantu?