Sistem Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara perlu segera diubah seiring perubahan era supaya pelajar mampu dilengkapkan dengan ilmu baharu yang lebih memenuhi pasaran pekerjaan.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajuddin Jab, berkata dalam menghasilkan pelajar untuk masa depan kita perlu bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Katanya kajian meramalkan 60 peratus jenis pekerjaan tidak akan ada lagi dan akan muncul pelbagai bidang baru maka pelajar perlu dilatih dari awal.

“Sistem pendidikan perlu diubah secara menyeluruh dan semua pihak perlu berfikiran terbuka selain menerima pandangan daripada umum.

“Jika kita lihat ketika ini terlalu banyak subjek dan tiada tumpuan sedangkan industri baru itu lebih terjurus ke arah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Justeru, kurikulum baru yang bakal dirangka perlu mempunyai tumpuan khusus.

“Bagi menjayakan abad ke-21, pelajar perlu mempunyai ruang untuk berfikir secara kritikal, berinovasi dan memerlukan masa untuk berfikir dengan mendalam berhubung subjek STEM,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Ahmad Tajuddin, ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung campur tangan individu terhadap kurikulum sekolah, beliau bersetuju supaya ia dikaji semula.

“Mungkin apa yang dimaksudkan adalah cara pelaksanaan kurikulum sekolah yang terlalu mementingkan keagamaan. Saya rasa ini juga persepsi umum.

“Justeru dalam merangka kurikulum baru ia seharusnya bersifat futuristik disamping penekanan terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Sementara itu, Pakar Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hasnah Toran, berkata kegusaran Perdana Menteri berdasarkan beberapa fakta antaranya kebolehan pasaran graduan universiti dan murid untuk bersaing di arena global.

Katanya penelitian terhadap kurikulum amat penting dan harus berterusan kerana dunia sedang menghadapi perubahan maka rakyat perlu kuasai teknologi.

“Kita harus ubah mentaliti dan kuasai semua ilmu serta percaya murid yang mampu kuasai agama mampu menguasai teknologi dalam masa yang sama.

“Saya setuju kurikulum yang perlu dikaji ini bukan saja untuk murid tetapi juga guru. Ini kerana sekiranya mahu mencapai tahap global adakah guru kita mampu memandu mereka ke arah ini justeru perlu ada jentera pendidik yang mantap,” katanya.

Sebelum ini Tun Mahathir berkata sekolah kebangsaan di negara ini sudah berubah menjadi ke arah sekolah agama.

Justeru, bagi memperkasakan kembali sistem pendidikan di negara ini, kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah yang sedia ada.

Sumber Asal: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/12/512291/sistem-pendidikan-negara-perlu-segera-diubah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Open chat
Salam Sejahtera,
Apa kami Boleh Bantu?